JOHOR BAHRU - Seorang warga emas maut selepas kakinya digilis sebuah bas ekspres  di Terminal Larkin Sentral, di sini, hari ini.

Menerusi rakaman video yang tular di media sosial sejak petang tadi, wanita berusia 80 tahun itu dipercayai dikenali sebagai Er Shok Siew.

Difahamkan, mangsa  dilanggar bas ketika sedang berjalan ke arah bangunan utama perhentian bas tersebut.

Menurut saksi yang enggan dikenali, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 12 tengah hari.

“Dia dirempuh bas dan kakinya digilis tayar kiri hadapan dan belakang bas berkenaan. Kemalangan itu menyebabkan kaki kanannya parah. Bagaimanapun ketika itu dia masih lagi bernyawa,” katanya.

Menurutnya, orang ramai cuba membantu dan mangsa dihantar ke hospital dengan ambulans.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mangsa yang parah di bahagian bawah pinggang kemudiannya dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 7.50 petang ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital. Siasatan lanjut berhubung kejadian ini sedang dilakukan.

“Kita juga sudah mengenal pasti dan akan menahan pemandu bas yang merupakan seorang lelaki berusia 61 tahun itu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.