SEPANG - Seorang penolong pengurus acara jualan maut selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu 'gila' oleh seorang lelaki yang dipercayai warga asing di kawasan Shaftsbury Square, Cyberjaya, di sini, semalam.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian yang tular di media sosial menunjukkan mangsa, Wan Amirah Wan Alias, 31 baharu selesai membeli sesuatu dan dipercayai hendak melintas jalan untuk ke keretanya pada jam 7.45 petang.

Bagaimanapun mangsa menyedari terdapat sebuah kereta dipandu laju, sebelum melanggar sebuah kereta di bahagian kiri jalan.

Keadaan itu menyebabkan mangsa segera berlari melintas jalan dipercayai untuk menyelamatkan dirinya, namun tindakannya itu mengundang maut apabila pemandu kereta tersebut membelok ke kanan jalan dan merempuhnya serta dua lagi kenderaan yang berada di situ.

Rakaman itu menunjukkan wanita itu kemudiannya diseret oleh kereta berkenaan.

Menerusi komen yang dimuatnaik bersama video itu, mangsa dikatakan diseret sejauh beberapa meter dari lokasi kejadian, sebelum jatuh ke bawah kenderaan tersebut.

Mangsa yang cedera parah dilaporkan koma dan menerima rawatan di Hospital Putrajaya sebelum disahkan meninggal dunia jam 2.13 pagi tadi.

Berdasarkan info dikongsikan di laman sosial juga, kereta yang melanggar mangsa dikatakan jenis Hyundai berwarna putih dengan nombor pendaftaran 7999.

Sementara itu, ibu saudara mangsa yang juga merupakan Pengurus Kewangan Kumpulan Media Karangkraf, Asnah Shamsuddin mengesahkan kejadian menimpa anak saudaranya itu.

Beliau berkata, jenazah mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Kuala Lumpur selepas solat Asar hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk usaha mengesan suspek yang terlibat.