TANGJUNG MALIM - Lima penumpang dilaporkan cedera ringan selepas berlaku pelanggaran melibatkan dua tren di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Tanjung Malim, awal pagi tadi.

Kejadian yang berlaku pada jam 6.02 pagi tadi melibatkan pelanggaran antara tren KTM Kargo bernombor 152 dan tren KTM Komuter bernombor 2113 di platform dua stesen berkenaan.

KTMB dalam satu kenyataan akhbar berkata kesemua mangsa yang cedera ringan dibawa ke Klinik Kesihatan Kecil Tanjung Malim untuk mendapatkan rawatan lanjut dan telah dibenarkan pulang.

"Terdapat seramai 20 orang penumpang di dalam tren KTM Komuter tersebut semasa insiden berlaku dan lima daripada mereka mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan di klinik.

"Manakala 15 penumpang yang terselamat telah dipindahkan ke tren KTM Komuter bernombor 2315 untuk meneruskan perjalanan ke Stesen KL Sentral," katanya.

Menurut KTM, tren kargo dengan mutan 30 gerabak tersebut memulakan perjalanan dari Stesen Jalan Kastam pada jam 2.15 pagi  dan dijangka tiba di Ipoh Cargo Terminal (ICT) Ipoh pada jam 7.50 pagi.

"Manakala tren KTM Komuter tersebut memulakan perjalanan dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Pelabuhan Klang, dijadualkan berlepas pada jam 6.05 pagi dan dijangka tiba pada jam 9.15 pagi," katanya.

KTMB turut mengumumkan berlakunya kelewatan perkhidmatan tiga tren komuter bernombor, 2315, 2306 dan 2317 dari Kepong ke Tanjung Malim dan Tanjung Malim ke Kepong antara 15 hingga 30 minit.

"Kelewatan perkhidmatan tren ini berlaku kerana penggunaan satu  landasan sahaja di antara sektor Tanjung Malim - Kuala Kubu Baru.

"KTMB memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku dan kerja-kerja baik pulih serta siasatan lanjut berkaitan insiden ini sedang dijalankan," katanya.