MUAR- Mangsa tragedi kapal korek pasir terbalik,  Mohd Akashah Azizan, 25, yang dilaporkan terperangkap sempat membuat ‘Live’ di Facebook beberapa hari sebelum kejadian.

Video berdurasi seminit 25 saat itu dikongsi mangsa dalam perjalanan dari Tuas, Singapura menghala ke perairan ini dengan pemandangan dari atas kapal yang dinaikinya pada 17 Mac lalu.

Sepupu mangsa, Arzizul Abdul Rahman, 35, ketika ditemui berkata, perkongsian mangsa di laman sosial itu juga menjadi detik terakhir mereka berhubung antara satu sama lain.

Arzizul

“Saya terima maklumat mengenai sepupu hari ini kira-kira jam 10 pagi melalui aplikasi WhatsApp yang dikongsi ahli keluarga.

“Saya  memang terkejut tapi setakat ini kami hanya mengharapkan yang baik-baik, tambahan pula hanya dia pula satu-satunya rakyat tempatan berbangsa Melayu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, hubungan dia bersama Mohd Akashah yang mesra disapa Acha sememangnya rapat kerana mangsa sering meminta nasihat dan tunjuk ajar mengenai cara kerja dalam bidang perkapalan.

“Dulu saya pernah bekerja dengan syarikat perkapalan di bawah Petronas dan  Acha memang banyak rujuk pada saya berkaitan kerja di dek kapal.

“Kalau diizinkan, memang kami sekeluarga mahu bertemu dengan Acha dalam keadaan selamat. Namun, kami juga tetap bersedia dengan sebarang kemungkinan dan reda walau apa pun berlaku,” katanya.

Arzizul berkata, Mohd Akashah yang telah berjinak dengan dunia perkapalan sejak hampir tiga tahun sebelum inipernah melalui pengalaman buruk apabila tinggal di atas kapal tanpa bekalan elektrik.

“Kalau ikutkan pengalaman buruk Acha sepanjang bertugas sebagai krew kapal adalah pada 2016 apabila dia yang bekerja dengan syarikat kapal lain sebelum ini ditinggalkan di tengah perairan di Pontian selama beberapa bulan tanpa bekalan elektrik.

“Mujur ada petugas penyelamat memberikan bantuan dan kesemua mereka berjaya diselamatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Arzizul berkata, ibu mangsa yang menetap di Changlun, Kedah kini dalam perjalanan.