BAGAN DATUK - Tragis dan menyayat hati apabila tiga beradik ditemui meninggal dunia dalam keadaan bergelimpangan selepas dikelar dan ditetak seorang lelaki dalam kejadian amuk di sebuah rumah di Kampung Sungai Haji Muhamad, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, Nurziah Fasihah Mohd Fadzil, 2, bersama dua abangnya, Muhammad Firash Zaffril, 3, dan Mumammad Faqhqih Zahirul Haq, 5, disahkan maut di tempat kejadian.

Tragedi turut menyebabkan ibu mangsa, Zuraidah Md Ali, 35, parah sementara kakak sulung, Nur Zurin Faziera, 9, bersama dua lagi penduduk kampung termasuk seorang murid tahun tiga, cedera.

Maklumat awal menyebut, lelaki dikenali penduduk dengan nama Rambo itu telah memecah masuk rumah keluarga berkenaan dengan bersenjatakan sebilah parang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, lelaki berusia 37 tahun itu dikatakan mengalami halusinasi dan bertindak di luar kawalan.

Menurutnya, suspek melibas tiga beradik berkenaan hingga menyebabkan kematian sementara ibu mangsa cedera di pergelangan tangan kiri, putus ibu jari selain menerima jahitan di muka.

Tindakan suspek tidak berhenti di situ, dia kemudiannya mengamuk di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Muhamad yang terletak kurang 50 meter dari kediaman keluarga terbabit.

“Kejadian amuk di kawasan sekolah menyebabkan dua murid termasuk kakak mangsa berusia sembilan tahun serta ustaz berusia 40 tahun, cedera,” katanya.

Beliau berkata, suspek bekerja sebagai pemotong buah sawit kemudiannya berjaya ditahan selepas satu jam.

“Suspek kini ditahan dan akan memohon perintah reman di Mahkamah Majistret Teluk Intan esok (hari ini).

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Hasil siasatan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau,” katanya.

Ketika kejadian, dimaklumkan bapa bersama nenek mangsa sempat menyelamatkan diri.