KEMAMAN - Kebakaran tiga tangki minyak mentah di kilang penapisan Kemaman Bitumen Company (KBC) Sdn Bhd akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 6.40 petang tadi, setelah hampir 49 jam operasi pemadaman dilakukan.

Pengarah Jabatan Boma dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, kebakaran tiga tangki berkenaan dapat dipadamkan sepenuhnya selepas pihaknya melakukan kaedah pemadaman secara terus ke atas punca api dengan menggunakan sepenuhnya sistem dan peralatan yang dimiliki mereka.

Katanya, pemeriksaan dan pemerhatian menyeluruh yang dilakukan menggunakan dron mendapati tiada lagi tompok-tompok kebakaran dilihat dari atas udara.

"Kita juga guna termo X-tray untuk melihat kebakaran dan dapati tiada lagi tangki yang terbakar.

"Seterusnya selepas ini JPBM Terengganu akan pastikan kebakaran tidak berulang ditangki-tangki yang terbakar dan kita akan gunakan kaedah mengurangkan kepanasan tangki daripada dalam," katanya pada sidang media di pos kawalan bomba di lokasi kejadian, sebentar tadi.

Beliau berkata, JPBM Terengganu akan memasukkan sepenuhnya air ke dalam tangki-tangki tersebut untuk pastikan kepanasan tangki boleh dikurangkan seterusnya tidak berlaku lagi kebakaran kerana penghadang bahan yang ada dalam tangki berkenaan mempunyai takat lebur tinggi lebih dari 1,000 darjah celcius.

Kata Azlimin, keseluruhan operasi jangka ditamatkan selepas kerja-kerja memasukan air ke dalam tangki-tangki terjejas berakhir kira-kira jam 8 pagi esok dan pemantauan berterusan akan dilakukan selepas itu.

Katanya, untuk tindakan pemantauan pihaknya juga akan memberikan taklimat kepada pasukan emergency response team (ERT) KBC untuk membuat pemantauan dan melaporkan kepada pihaknya.

"Jadi kita tak perlu datang lagi dan kita percaya pada pasukan ERT yang kita lantik yang boleh bagi info yang kita perlukan," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dua tangki berjaya dipadam]

[ARTIKEL BERKAITAN: Tangki minyak KBC terbakar]

[ARTIKEL BERKAITAN: Kebakaran tangki minyak: Seorang dilaporkan cedera]

Ditanya mengenai siasatan kes itu, beliau berkata, siasatan akan dilakukan secepat mungkin oleh satu pasukan JPBM dari Putrajaya dengan dibantu pegawai pegawai dari JPBM Terengganu.

Operasi mengawal api dan pemadaman sepanjang tiga hari berkenaan melibatkan kekuatan seramai 450 anggota dari Terengganu, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan.

Insiden kebakaran kilang penapisan KBC berkenaan berlaku kira-kira jam 6.15 Khamis lalu yang bermula dari sebuah tangki sebelum ia merebak ekoran api marak dengan cepat hingga beberapa hari.