BATU PAHAT - Tiga lelaki maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung antara satu sama lain di Jalan Simpang Lima, Parit Sulong di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2 pagi tadi, mangsa, Hamirul Neeza Abdul Rahman Justin, 20; Muhamad Hamizi Isak dan Muhammad Fikri Zulhizir yang masing-masing berusia 18 tahun disahkan maut di tempat kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan KS Mender Singh berkata, kemalangan dipercayai berpunca selepas motosikal ditunggang Muhamad Hamizi dari arah Parit Sulong bertembung dengan motosikal ditunggang Muhammad Fikri dari arah bertentangan.

“Dalam masa sama, motosikal ditunggang Hamirul Neeza dari arah Parit Sulong gagal mengelak dan bertembung dengan kedua-dua motosikal terbabit di tengah jalan.

“Akibat pelanggaran itu, seorang mangsa tercampak ke pokok di bahu kiri jalan selain ada yang turut tercampak di bahu kiri jalan dan di tengah jalan. Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.