SETIU - Tiga wanita maut, seorang parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di kilometer 59 Jalan Pantai Kuala Terengganu-Kampung Raja di Kampung Rhu Sepuluh, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6.40 pagi itu, Marina Deraman, 48, Azizah Jamaludin, 48 dan seorang warga Indonesia, Dewiyanti Demmagassing, 36, maut di tempat kejadian

Mangsa yang cedera parah, Nor Ashimah Mohd Yasim, 36, dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, bagi rawatan lanjut.

Kesemua empat mangsa terbabit menaiki kereta Waja dalam perjalanan ke tempat kerja di kantin Kolam Udang Kampung Nyatuh, di sini.

Keadaan mayat yang tercampak dan kereta Waja yang melanggar tiang elektrik sejurus bertembung.

Difahamkan, sejurus tiba di tempat kejadian, sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dari arah Kampung Raja menghala ke Kuala Terengganu sedang memotong dan masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dinaiki keempat-empat mangsa.

Ekoran kejadian itu, kereta Waja berkenaan terbabas dan melanggar tiang elektrik di bahu jalan.

Seorang daripada penumpang belakang kereta Waja itu tercampak ke luar kenderaan dan meninggal di tempat kejadian manakala pemandudan penumpang hadapan tersepit, juga meninggal di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, ujian air kencing ke atas pemandu Triton yang berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dibuat dan didapati negatif.

Katanya, keadaan jalan di tempat kejadian adalah lurus, kering dan cuaca dalam keadaan baik.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan,"katanya.