KUALA KANGSAR - [DIKEMASKINI] Nahas tiga maut berhampiran Stesen Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini, melibatkan dua beradik dan seorang rakan.

Mangsa adalah Mohammad Asyraf Hamdan Al Fikri, 27 dan adiknya, Muhammad Irfan,17, dan seorang lagi kanak-kanak, Muhammad Amirul Fahmi Samsudin,12.

Kesemua mayat dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, sepasukan 11 anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 7.36 petang.

“Setibanya di lokasi kejadian, terdapat sebuah kereta Nissan Sunny telah remuk dan berada di dalam longkang manakala sebuah treler tanpa muatan berada di atas kenderaan tersebut.

"Bagi memudahkan operasi menyelamat, khidmat kren digunakan bagi mengangkat kedua-dua kenderaan berkenaan dan operasi mengeluarkan kesemua mangsa mengambil masa berikutan kedudukan dan keadaan kereta yang remuk,” katanya.

Menurutnya, kesemua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia.

“Semua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.