SHAH ALAM - Pemandu van dan dua murid sekolah cedera apabila kenderaan itu terbabas dan terbalik di Kilometer 7.8 Lebuhraya Guthrie di sini, pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Selangor), Penguasa Kanan Bomba I Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.41 pagi.

Menurutnya kejadian berlaku di U8 dari Denai Alam menghala ke Bukit Jelutong.

"Seramai tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba Sungai Buloh ke lokasi. Didapati sebuah van membawa 13 murid sekolah terbalik di laluan kanan lebuh raya.

"Insiden menyebabkan pemandu van wanita cedera di bahagian tangan kanan, dua penumpang turut cedera dalam kejadian itu," katanya.

Katanya, semua mangsa dibawa keluar oleh orang awam yang melalui lebuh raya tersebut pagi tadi.

Mereka yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.