IPOH - Seorang pemandu lori cedera parah selepas lori yang dipandunya terbabas dan dirempuh sebuah bas persiaran dari arah belakang di KM328.1 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara jam 3.40 petang tadi.

Mangsa berusia 62 tahun dari Raub Pahang cedera parah di kepala dan kaki itu dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Ahmad Adnan Basri berkata, pemandu bas berusia 25 tahun bersama dua lagi penumpang cedera ringan.

"Lebih kurang jam 3.40 petang satu kemalangan dipercayai berpunca daripada sebuah lori apabila tayarnya pecah lalu terbabas dan terbalik sebelum datang sebuah bas melanggar lori berkenaan.

"Ketika kejadian keadaan jalan lurus tetapi cuaca hujan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.