BAGAN SERAI - Seorang lelaki hampir putus pergelangan tangan dipercayai ditetak dalam satu kejadian pergaduhan di sebuah kedai kopi di Jalan Siakap,  berhampiran sebuah pasaraya di sini,  malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.40 malam, seorang lelaki berbangsa India berusia lingkungan 30an mengalami kecederaan parah setelah pergelangan tangan kanannya dipercayai ditetak dengan menggunakan senjata tajam oleh seorang suspek lelaki.

Saksi kejadian enggan dikenali berkata,  mangsa dipercayai terbabit pergaduhan dengan suspek sewaktu berada di dalam kedai itu.

Menurutnya, punca pergaduhan tidak diketahui dan mangsa hampir tidak sedarkan setelah diserang suspek.

"Dipercayai terdapat dua suspek terlibat dalam kejadian gaduh itu berdasarkan penemuan sebuah dompet milik salah seorang suspek oleh polis di lokasi kejadian.

"Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Taiping bagi mendapatkan rawatan kecemasan, "katanya kepada media di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar sewaktu dihubungi mengesahkan kejadian.

"Siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui punca dan motif kejadian berlaku, "katanya.

LAPORAN LANJUT KEJADIAN BAKAL MENYUSUL SEBENTAR LAGI