GEORGETOWN - Mangsa yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Berkembar Paya Terubong (Jalan Bukit Kukus) di sini, Nor Azizah berkongsi detik-detik insiden itu yang turut membabitkan suaminya, Subairi, seorang warga Indonesia.

Nor Azizah, 24, yang merupakan warga Kemboja itu berkata ketika kejadian, dia sedang berehat di ruang kongsi dan suaminya itu berada di satu sudut ruang menonton televisyen di rumah mereka.

“Ketika itu hujan baru berhenti dan saya terdengar macam bunyi kuat runtuhan tanah dan ia sekelip mata turut terkena rumah kami menyebabkan separuh badan saya tertimbus. Suami ketika itu sudah jatuh dan tertimbus ke dalam tanah. Saya tidak dapat melihatnya lagi selepas berlaku runtuhan itu.

“Saya pula ketika itu ditolong oleh lima orang yang menarik saya keluar,” kata ibu kepada seorang cahaya mata perempuan yang berusia dua tahun setengah ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Sehingga kini jasad Subairi yang berasal dari Wasilomata, Buton Tengah, Sulawesi, Indonesia itu masih belum ditemui.

Nor Azizah yang setia menanti jasad suaminya di Jabatan Forensik itu berkata, pada hari kejadian suaminya tidak bekerja dan mereka menghabiskan masa berehat di rumah kongsi itu.

“Saya baru tinggal di Malaysia selama tiga bulan untuk teman suami yang bekerja di sini selama lapan bulan, anak kami berada di Indonesia. Saya reda dengan dugaan ini dan amat berharap jasad suami ditemui.

“Sangat-sangat harap suami ditemui dan lepas jumpa kami akan bawa suami pulang ke kampungnya. Semua sanak saudara, anggota keluarga dan anaknya tinggal di sana. Mereka juga sudah dimaklumkan dan menunggu jawapan (penemuan) ini,” katanya yang kelihatan sedikit pulih dan enggan lagi mengenang memori hitam itu. - Bernama