GEORGETOWN - Setakat ini, sembilan mayat ditemukan, empat cedera dan satu  lagi  masih  hilang selepas empat hari kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar  Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di sini.

Sehingga pukul 10 malam ini, pasukan penyelamat masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat  bagi mencari seorang lagi mangsa yang dilapor hilang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian  pada pukul 1.56 tengah hari Jumaat lepas.

“Kami akan teruskan operasi mencari sehingga mayat ke-10 ditemui. Setakat ini cuaca baik dan pencahayaan mencukupi,” kata Pengarah Bomba Pulau Pinang Saadon Moktar.

Beliau berkata lokasi pencarian mangsa yang dikenali sebagai Md Rahaz, 25, dari Bangladesh itu akan bertumpu di sektor tiga iaitu kawasan mayat kesembilan, Mohamad Uzzal, 33, dijumpai di bawah sebuah kontena yang hancur.

Kejadian di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus itu setakat ini mengorbankan sembilan orang terdiri daripada tiga lelaki warga Indonesia, lima lelaki rakyat Bangladesh dan seorang wanita Myanmar, manakala  seorang  lagi lelaki Bangladesh dilapor masih hilang dikhuatiri tertimbus. - Bernama