GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Mayat pertama dan kedua yang dijumpai tengahari tadi berada dalam keadaan bertindih di kedalaman empat meter di bawah timbunan tanah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Saadon Mokhtar berkata, mayat kedua-duanya ditemui dalam keadaan sempurna dan hanya mengalami luka di beberapa bahagian badan.

Menurutnya, mayat pertama, Mithu Hossain, 30, dijumpai di kedalaman tiga meter manakala Mostak Hossain, 25, berada di bawah mayat rakannya itu.

"Mithu dijumpai pada jam 12.15 tengahari manakala Mostak dijumpai lima minit kemudian. Mayat mereka dijumpai di sektor kedua. Keadaan mereka seolah-olah sedang berlari dan kita percaya, ketika kejadian, mereka tidak berada dalam kontena.

"Lokasi kedua-dua mayat dijumpai hari ini agak jauh dari lokasi penemuan mayat sebelum ini. Buat masa ini, kita menumpukan pencarian di lokasi berdekatan kerana percaya mereka berada dalam kelompok yang agak ramai ketika kejadian," katanya.

Saadon berkata, pihaknya percaya akan ada mangsa lain yang tidak berada dalam senarai orang yang hilang.

"Nama Mostak tidak berada dalam senarai mangsa yang hilang dan sebab itu, kita percaya masih ada mangsa lain yang hilang. Namun, operasi pencarian akan menumpukan kepada empat nama yang ada dalam senarai kita.

"Kita akan menumpukan pada sektor kedua di mana kedua-dua mayat dijumpai. Selain itu, kita juga akan mencari di sektor ketiga, kerana beranggapan mangsa-mangsa ada di sektor tersebut.

"Bagaimanapun, tidak bermakna sektor pertama kita tinggal terus. Kita akan teruskan pencarian sehingga semua tempat disahkan tidak ada mangsa lagi kerana kita tidak tahu jumlah mangsa sebenar," katanya.

Dengan penemuan dua mayat tersebut, mangsa yang disahkan meninggal dunia menjadi enam pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat di lokasi tanah runtuh di sini.

Sebelum ini, empat mangsa telah disahkan meninggal dunia iaitu seorang lelaki Indonesia, Samsul Asman, 19, Attrul, 35 (Bangladesh)  Khin Aye Khaing, 33 (wanita Myanmar) dan Bahtiar, 36 (Indonesia).

[ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh: Dua lagi mayat ditemui]