GEORGETOWN - Penggunaan tanah yang tidak sesuai untuk kerja-kerja tambakan dikenal pasti sebagai antara punca utama kejadian tanah runtuh di tapak projek pembinaan jalan berkembar Paya Terubong pada minggu lalu.

Pakar Tanah Runtuh, Pengurusan Bencana dan Hakisan Tanah Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Habibah Latef berkata, penemuan bukti itu adalah suatu perkara yang amat mengejutkan.

"Kalau kita lihat secara keseluruhan ia lebih kepada penggunaan tanah berpasir dan tidak mampat.

"Di sini kita kena lihat apa kelemahan yang ada di situ sehingga boleh menyebabkan runtuhan tanah berlaku.

"Saya rasa ini soal pemantauan. Apabila mereka tambak tanah, siapa yang pantau?

"Di situ ada aliran air dan mereka sepatutnya menggunakan tanah yang sesuai, bukannya tambak guna tanah macam ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan tinjauan ke tempat kejadian bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), hari ini.

Menurutnya, secara kesimpulan tanah yang digunakan untuk kerja-kerja tambakan adalah tidak sesuai.

"Tambahan pula batuan induknya adalah jenis granit dan boleh bertukar menjadi tanah yang tidak mampat," katanya.

Selain itu, beliau mengesahkan kedudukan kontena di tapak projek tersebut diletakkan pada tempat yang tidak sesuai iaitu di bahagian cerun.

"Kita tahu di situ ada banyak aliran air yang mengalir dan tanah yang tak mampat sudah tentu boleh menyebabkan runtuhan dengan mudah.

"Mereka sepatutnya kena ikut prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa melakukan pemantauan di tapak projek.

"Saya bercakap atas dasar ahli akademik, bukan nak menyalahkan mana-mana pihak.

"Saya tak tahu mereka ikut SOP atau tidak sebab dari segi perancangan struktur negeri memang sudah termaktub dan cantik," katanya.

Jelasnya, sebarang pembangunan tidak boleh dilaksanakan di kawasan melebihi ketinggian 76 meter dan tidak boleh bina ditempat cerun melebih 26 meter.

"Tapi pelaksanaan dan pemantauannya, siapa yang pantau? Kalau pemantauan dibuat okay, tapi bila tak pantau inilah jadinya.

"Sepatutnya jurutera projek kena turun padang tengok dan pantau kerja-kerja yang dilakukan.

"Kena tengok adakah ia ikut SOP? Kalau tak ikut dia kena pastikan ikut SOP supaya benda ini tidak berulang," katanya.