KUALA LUMPUR - Allahyarhamah Wan Amirah Wan Alias, dikatakan tidak pernah gagal melaksanakan puasa sunat dalam tempoh tiga bulan kebelakang ini.

Hal itu didedahkan rakan sekerja arwah, Fakhrul Azri Jamaluddin, 29, yang masih terkesan dengan reaksi arwah ketika dia menegur perubahan itu.

"Seingat saya sebelum itu mungkin dia jarang puasa sunat. Tapi sejak habis Ramadan tahun ini, dia puasa sunat dengan konsisten setiap Isnin dan Khamis.

"Saya suka usik dia, saya cakap kau ni dah taubat ke, dia gelak saja dan balas bahawa ajal kita tak tahu bila.

"Perbualan ni pada Ogos lalu. Sejak itu juga dia macam agak pendiam sebab biasanya dengan kawan-kawan dia ceria juga. Tak sangka perubahan itu tanda dia akan pergi tinggalkan kami,"katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Wanita maut angkara 'pemandu gila']

[ARTIKEL BERKAITAN: Maut lepas singgah beli roti]

Sementara itu, pemergian Wan Amirah turut memberi kehilangan besar terhadap rakan-rakan sekerja lain yang menyifatkan Allahyarham seorang yang begitu mesra.

Lebih memberi kesan apabila rakan-rakan sepejabat baru sahaja membuat kejutan sempena sambutan hari lahirnya minggu lalu.

Salah seorang rakan sekerja, Yap Wei Ing, 36, berkata, dia amat merasai pemergian Wan Amirah kerana mereka begitu rapat.

"Dia ingat kami lupa hari lahirnya pada 4 Oktober lalu dan tidak sangka kami buat kejutan itu dan gembira.

"Wan Amirah seorang yang mudah didekati dan dia bergaul dengan semua orang. Malah saya bersama tiga lagi rakan baru bercuti bersama di Boracay, Filipina pada April lalu.

"Amirah seperti adik bongsu kami walaupun umurnya bukan paling muda. Semua rakan-rakan pejabat sayang dengan dia,"katanya.

Bagi seorang lagi rakan, Summer Yam, 40, kejadian yang menimpa Wan Amirah begitu tragis dan mengharapkan akan ada pembelaan dengan tindakan sewajarnya dari pihak berkuasa.

"Kami berharap pihak berkuasa dapat memburu pemandu berkenaan dan mengambil tindakan. Pemandu itu perlu mendapat hukuman setimpal,"katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bapa tak sanggup tengok video anak kena langgar]