GERIK - Seorang lelaki tidak menyangka kemalangan yang menyebabkan kesesakan di KM59 Jalan Raya Timur Barat (Gerik- Jeli), kelmarin, rupa-rupanya melibatkan ahli keluarga sendiri.

Mohd Saiful Izam Suhaidin, 32, berkata, dia menyedarinya apabila mengecam nombor pendaftaran Proton Saga merah milik abangnya yang dipanggil angah selepas kemalangan itu berlaku.

“Tuhan sahaja tahu perasaan ketika itu apabila melihat sendiri jenazah angah sudah berada di luar kenderaan dalam keadaan bertutup bersama dua yang lain.

“Memang tidak sangka rupa-rupanya mereka terlibat. Kali terakhir berjumpa ketika sarapan bersama-sama dengan ahli keluarga lain pagi tadi (semalam) sebelum mereka bergerak kira-kira jam 8.30 pagi,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik, Hospital Gerik di sini.

Menurutnya, mangsa dalam perjalanan pulang ke Kampung Pangkal Meleret, Machang, selepas menghadiri perkahwinan sepupunya di Bukit Bertam, Selama.

“Kami berkumpul sejak Jumaat lalu untuk sama-sama menguruskan kenduri kahwin sepupu bersama sanak saudara yang berlangsung hari Sabtu.

“Mereka bergerak awal untuk beraya dengan saudara lain di Kuala Kangsar sebelum pulang ke kampung. Kami semua gerak berasingan pulang ke Kelantan untuk mula bekerja hari ini (semalam),” katanya.

Mohd Saiful Izam berkata, Nur Hanania yang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh akan ditemani oleh adik perempuannya.

“Jenazah angah, kakak ipar dan anak mereka akan dibawa balik dan dikebumikan di kampung halaman selepas selesai urusan di sini (forensik),” katanya.

Nahas kira-kira jam 4.30 petang itu mengorbankan Mohd Nizam Suhaidin, 34, dan isterinya, Noor Hafizah Ismail, 34, dan anak sulung mereka, Muhammad Afiq yang berusia enam tahun.

Turut terkorban adalah pemandu treler, Redzuan Abd Ghani, 59.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal mendapati treler dari arah Jeli hilang kawalan selepas melalui lokasi kejadian yang berselekoh itu.

“Treler berkenaan hilang kawalan berpusing dan memasuki laluan sebelum bertembung dengan kereta yang dinaiki mangsa.

“Pertembungan itu menyebabkan kesemua mangsa parah dan empat daripadanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.