KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Perancis disyaki terlibat fahaman Salafi Jihadi di negara ini meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Km428.3 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) berhampiran dengan Bukit Beruntung, Jumaat lepas.

Sumber mengesahkan perkara itu kepada Bernama berkata Mickael Alain Louvier meninggal dunia semalam ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

“Louvier meninggal dunia(selepas mengalami kecederaan parah) apabila van yang dinaiki bersama anggota polis dari Perlis ke Kuala Lumpur terbabas dipercayai akibat jalan licin.

“Mereka dibawa ke ibu negara bagi membolehkan polis mendapatkan maklumat lanjut berhubung kumpulan pengganas berkenaan,” kata sumber berkenaan.

Suspek adalah antara lapan lelaki ditahan di beberapa negeri bulan lepas kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas.

Pada 24 September lepas, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dalam operasi di Perlis, Kuala Lumpur dan Johor, menahan mereka kerana disyaki terlibat dalam tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan persekutuan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata kesemua suspek mempunyai hubungan dengan sebuah pusat pengajian Islam di Perlis sama ada sebagai pelajar, bekas pelajar atau bekas tenaga pengajar.