KUALA LUMPUR - Dua suspek yang menembak mati seorang imam warga Palestin di hadapan Komdominium Idaman Puteri di Jalan Meranti, Medan Idaman Setapak pagi tadi, telah menunggu 20 minit lebih awal di luar kondominium berkenaan sebelum bertindak melepaskan tembakan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terletak berhampiran lokasi kejadian, kedua-dua suspek menaiki motosikal berkuasa tinggi jenis BMW GS hanya melepaskan tembakan setelah mangsa yang juga seorang pensyarah keluar daripada kondominium berkenaan untuk ke surau berhampiran.

Menurutnya, sebelum itu, terdapat dua individu yang keluar lebih awal sebelum mangsa  dari kondominium sama.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pensyarah warga arab mati ditembak]

"Namun kedua-dua suspek yang memakai helmet penuh ini tidak melakukan sebarang tindakan. Mereka hanya bertindak melepaskan tembakan sebaik sahaja mangsa keluar daripada pagar kondominium.

"Ini jelas menunjukkan suspek memang ada motif membunuh mangsa. Ini berdasarkan 10 tembakan yang dilepaskan,"katanya kepada media ketika melawat ke lokasi kejadian hari ini.

Tambah Mazlan, polis kini masih meneliti rakaman beberapa CCTV untuk siasatan lanjut.

"Daripada siasatan awal, kelihatan hanya salah seorang daripada suspek yang melepaskan tembakan. Namun kita masih teliti sekiranya ada tembakan daripada jarak jauh.

"Unsur kejadian masih dalam siasatan. Polis juga sedang mengambil keterangan daripada pihak keluarga dan tempat kerja sekiranya ada perkara berbangkit,"katanya.

Mazlan dalam masa sama menegaskan polis mengambil serius kes berkenaan dan akan menyiasat daripada semua sudut termasuk sekiranya terdapat elemen pengganas.

"Jadi orang ramai diminta memberi kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat,"katanya.

Dalam kejadian jam 6 pagi tadi, mangsa merupakan pensyarah di salah sebuah universiti swasta di ibu negara ini meninggal dunia di lokasi kejadian apabila terkena empat daripada 10 das tembakan yang dilepaskan.

Tembakan daripada jarak dekat itu mengenai bahagian kepala dan anggota badan.

Mangsa berusia 35 tahun telah menetap di negara ini sejak 10 tahun lalu itu merupakan imam kedua surau terletak kira-kira 300 meter daripada kondominium berkenaan.

Ketika kejadian, mangsa baru keluar daripada kondominium berkenaan untuk mengimamkan solat Subuh di surau itu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, Duta Palestin di Malaysia, Datuk Dr. Anwar H. Al.Agha, berkata, mangsa dikenali sebagai Dr. Fadi Al Batsh, tinggal di kondominium berkenaan bersama isteri dan tiga orang anak masing-masing berusia 1,5 dan 6 tahun.

Beliau amat terkejut dengan kes berkenaan kerana menyifatkan mangsa seorang yang baik dan tidak mempunyai musuh.

"Mangsa seorang yang pendiam dan amat baik dengan semua orang. Saya terkejut mengapa perkara ini terjadi kepadanya. Bagaimanapun saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat,"katanya.

Difahamkan mangsa juga merupakan graduan dari Universiti Malaya (UM) sebelum berkhidmat sebagai pensyarah.