BATANG KALI - [DIKEMASKINI] Pesara polis maut manakala isteri patah tulang rusuk apabila motosikal ditunggang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 16 Jalan Batang Kali-Ulu Yam, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, mangsa yang beralamat di Rumah Murah Ulu Yam Bharu, Mohd Soueid A Ghafar, 60, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, kejadian membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda BT50 dan motosikal jenis Honda EX5 di persimpangan Tamu Hill.

Menurutnya, pesara polis yang menunggang motosikal bersama isteri berusia 51 tahun itu dari arah Batang Kali menuju ke Ulu Yam.

"Sampai di tempat kejadian, SUV dipandu lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai cuai membelok tanpa memberi laluan kepada kenderaan dari arah bertentangan, lalu menyebabkan perlanggaran

"Perlanggaran berlaku di sebelah kiri kenderaan SUV dan mengakibatkan penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

"Mayat dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat sementara pemandu SUV tidak mengalami sebarang kecederaan namun dihantar ke hospital untuk ujian darah sebelum ditahan bagi siasatan lanjut,"katanya.

Bak Phai berkata, isteri mangsa yang membonceng mengalami patah tiga tulang rusuk dan kini menerima rawatan di Hospital Selayang.

Menurutnya, pesara polis berpangkat koperal itu bertugas kali terakhir di Balai Polis Brickfield dan kes diklasifikasi di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.