MANJUNG –  Seorang kakitangan Kumpulan Media Karangkraf, Saiful Azlan Ismail, bersama isteri dan tiga anaknya terbabit dalam nahas melibatkan kereta dan lori di Kampung Kota, Beruas, hari ini.

Kejadian sekitar jam 3 petang itu mengorbankan anak sulungnya Adam Harith berusia lima tahun, sementara anak bongsu, Noah Ziwath, setahun, dilaporkan parah.

Saiful Azlan, yang bertugas sebagai Eksekutif Jualan Grup Buku Karangkraf Bahagian Utara berkata, ketika  kejadian mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang selepas menghadiri kenduri perkahwinan di Sungai Kerang.

Saudara Saiful Azlan yang hadir melihat anak bongsunya di bawa ke menaiki ambulans ke HRPB.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika kereta yang dipandu cuba mengelak sebuah motosikal yang secara tiba-tiba keluar dari sebuah simpang.

Keadaan itu menyebabkan kereta jenis Proton Saga dinaiki mereka sekeluarga bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

“Saya cuba elak motor tu menyebabkan kereta saya masuk ke laluan bertentangan, tanpa sedar ada lori di depan dan lori berkenaan juga cuba mengelak sebelum melanggar bahagian belakang sebelah kereta.

“Dua anak saya berada dibelakang dan rempuhan tersebut menyebabkan anak sulung saya cedera parah sebelum meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Beruas,” katanya ketika ditemui di Jabatan Kecemasan Hospital Seri Manjung, hari ini.

Anak sulung Saiful Azlan, Adam Harith (tengah) meninggal dunia manakala anak bongsunya Noah Ziwath (dipangku ibunya) cedera parah.

Sementara itu, Saiful Azlan dan isterinya Nor Faridah Sawal, 31, yang juga merupakan bekas pekerja Sinar Harian bersama anak kedua mereka Luth Fattah 3, cedera ringan.

Suasana bertambah hiba apabila anak bongsu mereka Noah Ziwath yang parah ditolak masuk ke dalam ambulans untuk dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh bagi rawatan lanjut.

Nor Faridah dilihat menangis sambil berbisik kepada anak bongsunya yang menyebabkan ahli keluarga lain turut sebak.

Menurut Saiful Azlan, jenazah anak sulungnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kota, Beruas pagi esok.