PASIR PUTEH - Kanak-kanak berusia 10 tahun mati lemas ketika mandi bersama tiga kawannya di Sungai Renab, Kampung Tok Nik, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, mangsa Adam Anuar, murid Sekolah Kebangsaan Pasir Puteh Lelaki, terperangkap apabila paras air sungai meningkat akibat penutupan pintu kawalan air kawasan berhampiran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar berkata, tiga kawan mangsa berjaya diselamatkan penduduk.

"Adam Anuar ditemui lemas dan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital," katanya.

Menurutnya, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan jam 6.05 petang bergegas ke lokasi dengan operasi diketuai Pegawai Bomba Zamani Abdul Rahman.