PENGERANG - Satu mayat wanita dipercayai mangsa bot pancung karam dijumpai pada hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan hari ini.

Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Johor, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, mayat berkenaan dijumpai oleh nelayan tempatan di perairan Pulau Lima Besar, Sedili.

“Mayat dibawa ke Jeti Maritim Sedili pada jam 12.15 tengah hari tadi seterusnya dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan selanjutnya.

“Satu lagi mayat turut dijumpai pada petang semalam menjadikan jumlah keseluruhan mangsa maut adalah sembilan orang sehingga hari ini,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bot pancung karam: Seorang maut, 25 lagi selamat]

Menurutnya, keluasan sektor pencarian kekal seperti SAR semalam iaitu lebih kurang 450 batu nautika persegi dari perairan Tanjung Kelisa sehingga Pulau Lima.

Sementara pencarian sepanjang pantai di lokasi kejadian turut dilakukan oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita maut manakala 25 selamat selepas bot pancung dipercayai membawa masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Batam karam kira-kira jam 12 tengah malam di perairan Tanjung Punggai.

Dipercayai seramai 44 Pati berusia 20-an hingga 40-an menaiki bot pancung berkenaan yang dikatakan bergerak dari Batam kira-kira jam 10 malam sebelum karam kira-kira 5.2 batu dari perairan Tanjung Punggai akibat lebihan muatan dan cuaca buruk.