PENGERANG - Satu lagi mayat dipercayai mangsa bot pancung karam ditemui pagi tadi menjadikan jumlah mangsa maut dalam tragedi itu sehingga hari ini adalah dua orang.

Mayat lelaki itu yang dijumpai nelayan tempatan diperairan Tanjung Kelisa akan dibawa pangkalan hadapan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Jeti Marina Pengerang  untuk tindakan lanjut.

Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Kepten Maritim Sanifah Yusof berkata, mangsa dijumpai lebih kurang sembilan batu nautika dari lokasi kejadian.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Isteri berkeras ajak masuk Malaysia lalu jalan haram ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Bot pancung karam: Seorang maut, 25 lagi selamat ]

"Operasi SAR masih diteruskan pada hari ini melibatkan perbagai agensi dengan kekuatan anggota seramai 125 orang pegawai dan anggota.

"Keluasan sektor pencarian dianggarkan lebih kurang 450 batu nautika persegi iaitu dari perairan  Tanjung Kelisa sehingga Pulau Lima.

"Pencarian sepanjang pantai di lokasi kejadian turut dilakuan pasukan mencari dan menyelamat,"katanya dalam kenyataan media sebentar tadi.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita maut manakala 25 selamat selepas bot pancung dipercayai membawa masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Batam karam kira-kira jam 12 malam di perairan Tanjung Punggai.

Maklumat kejadian itu diterima pihak Maritim kira-kira jam 4.45 pagi dari petugas pelantar minyak berhampiran yang menemui dua mangsa cuba mendapatkan bantuan.

Dipercayai 44 Pati berusia 20-an hingga 40-an menaiki bot pancung berkenaan yang dikatakan bergerak dari Batam kira-kira jam 10 malam sebelum karam kira-kira 5.2 batu dari perairan Tanjung Punggai akibat lebihan muatan dan cuaca buruk.