JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Johor melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua remaja yang hilang dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Batu Layar, Kota Tinggi, pagi tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim negeri, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, sebuah bot diatur gerak ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar.

Menurutnya, sebuah pangkalan hadapan carilamat ditubuhkan di lokasi kejadian bagi menyelaras usaha mencari mangsa.

“Kedua-dua mangsa lelaki berusia 18 dan 19 tahun memakai baju berwarna merah dan baju berwarna biru ketika kejadian berlaku.

“Tiga buah aset laut daripada pelbagai agensi digunakan dalam usaha mencari mangsa iaitu Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan Pasukan Polis Marin,” katanya di sini, hari ini.

Sanifah berkata, sekiranya berlaku kecemasan di laut, orang ramai diminta segera mendail talian 999 atau Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru di talian 07-2219231 supaya Maritim Malaysia dapat memberikan bantuan kecemasan dengan cepat.

“Orang ramai juga dinasihatkan lebih berhati-hati memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu dan mengambil langkah yang sewajarnya apabila berada di pantai,” katanya.

Selain itu, pencarian yang ditumpukan sekitar 4 batu nautika dari lokasi terakhir dilaporkan hilang selain sekitar pantai itu melibatkan 31 anggota.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dua remaja hilang dikhuatiri lemas]