KOTA TINGGI – Kediaman Ketua Kampung Aping Timur yang dihuni sejak 18 tahun lalu musnah dalam kebakaran malam tadi.

Mismat Buang, 69, memberitahu, dia hanya menyedari kejadian berkenaan sebaik keluar dari tandas setelah terlihat api semakin marak di dalam biliknya.

“Saya tidak pasti dari mana kebakaran itu bermula kerana berada di dalam tandas. Secara tiba-tiba lampu terpadam dan bekalan elektrik terputus.

“Apabila saya keluar dari tandas, saya lihat api semakin marak. Saya berusaha keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

“Ketika kejadian, ketiga-tiga anak saya tiada di rumah dan saya tinggal seorang diri. Mujur, tiada kejadian buruk dan saya terselamat dari kejadian itu,” katanya.

Mismat yang juga Ketua Umno Cawangan Aping Timur memberitahu, jumlah kerugian lebih daripada RM200,000.

“Saya tak sempat selamatkan apa-apa. Jiran juga tak benarkan saya masuk ke rumah semula kerana api marak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azman Jantan berkata, sembilan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 10.56 malam dan operasi tamat pada jam 12.27 malam.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kediaman tunggal berstruktur kekal yang berkeluasan 40x60 kaki hampir 90 peratus.

“Ketika kejadian, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Pihak kami masih menyiasat punca dan anggaran kerugian,” katanya.