KOTA BHARU – Sebuah rumah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) yang terletak berhadapan Istana Kubang Kerian, di sini terbakar, hari ini.  

Kebakaran disedari orang awam yang melalui kawasan itu pada jam 9.50 pagi.

Saksi, Mohamad Abd Halim Mat Lodin, 35, berkata, dia ketika itu berada di sebuah kedai membaiki radiator selang lima kedai dari lokasi kejadian.

“Mulanya saya ternampak kepulan asap kemudian terlihat api sebelum bunyi lepuh membakar rumah papan tersebut sebelum menghubungi bomba dan tak lama lepas itu bomba sampai,” katanya.

Sementara itu, sehingga jam 11 pagi bomba masih lagi mengawal kebakaran dan berlaku sedikit kesesakan jalan raya berikutan langkah keselamatan yang diambil.

Dalam pada itu, netizen laman sosial memuat naik gambar dan video yang memaparkan percikan api daripada wayar elektrik yang terbakar dalam kejadian itu.