MUAR - Tiga penumpang bas maut setelah kenderaan yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori treler di lorong kiri ketika berada di Kilometer 138, Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran Pagoh, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi tadi, dua mangsa maut dikenali sebagai Lim Siew Kee, 61 dan Lai Moon Ching, 25.

Sementara seorang lagi identiti mangsa lelaki berbangsa Cina belum dapat dikenal pasti.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan, kemalangan berpunca apabila kedua-dua kenderaan terlibat ketika itu dalam perjalanan menghala ke Selatan.

“Hasil siasatan awal, bas dari arah Kuala Lumpur yang membawa 25 penumpang itu dalam perjalanan menuju ke Singapura. Bagaimanapun, ketika tiba di KM138, bas yang berada di lorong kanan secara tiba-tiba telah bergesel dan merempuh tepi sebelah kanan badan treler menyebabkan separuh bahagian kiri bas rosak teruk.

“Akibat daripada kemalangan itu, tiga penumpang bas tercampak keluar. Seorang mangsa dilaporkan maut di tempat kejadian manakala dua lagi penumpang meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” katanya ketika dihubungi.

Zaharudin berkata, manakala baki 14 penumpang yang cedera dibawa ambulans ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat bagi mendapatkan rawatan di zon kuning.

“Pemandu bas turut mengalami cedera ringan dan dirawat di HSNI, Batu Pahat manakala pemandu kedua bas dan pemandu treler termasuk 10 lagi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kawasan kemalangan merupakan jalan lurus dua lorong dua hala dengan garis tengah putus-putus. Keadaan cuaca pada masa kejadian adalah baik,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.