GEMAS – Seorang penunggang motorsikal maut selepas terbabit dalam nahas dua buah kenderaan di kilometer dua, Jalan Pasir Besar Palong 1, berhampiran Pekan Pasir Besar, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd Shukri Mohd Noor, 43, dari Kampung Bangkahulu di sini, maut di lokasi kejadian susulan parah di bahagian kepala dan dada.

Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Ramli Kasa, nahas membabitkan dua buah kenderaan iaitu motosikal jenis Modenas Kriss ditunggangi mangsa dan lori jenis Hino.

“Berdasarkan siasatan awal, motosikal yang ditunggangi mangsa dari arah Pekan Pasir Besar menuju ke Palong 1.

"Sebaik tiba di lokasi, mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu masuk ke laluan bertentangan dan dalam masa yang sama datang sebuah lori dipandu seorang lelaki awal 30-an.

“Pemandu lori berkenaan yang datangnya dari arah Palong 1 cuba mengelak ke kiri jalan, namun penunggang motosikal telah merempuh bahagian besi sebelah kanan lori berkenaan.

Jelasnya, susulan rempuhan itu, mangsa cedera parah di muka dan dada manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa telah di bawa ke Hospital Tampin untuk proses bedah siasat esok.  

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.