TAIPING - Perintah reman terhadap suspek tetak warga asing, yang menjadikan warga emas tebusan di Taman Kami C, Aulong di sini, 1 Julai lalu dilanjutkan tiga hari lagi bagi membantu siasatan kes terbabit.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, suspek berusia 33 tahun itu sudah direman sehingga tujuh hari bermula 2 Julai lalu.

Perintah reman sehingga 11 Julai itu diberikan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Taiping pada Isnin.

Kes mereka disiasat di bawah Seksyen 326, 506, 342 dan 309 Kanun Keseksaan.

Suspek warga tempatan ditahan kerana didakwa terlibat dengan insiden amuk di sebuah rumah di Taman Kami C, Aulong di sini pada jam 4 pagi, 1 Julai lalu.

Dalam kejadian itu, polis menerima panggilan kecemasan memaklumkan suspek bertindak mencederakan orang lain dengan menggunakan parang di lokasi kejadian.

Lebih kurang jam 4.25 pagi, sepasukan polis sampai di lokasi kejadian dan mendapati suspek sedang mengacukan parang pada leher seorang warga emas berusia 70 tahun, di dalam bilik tidur utama dengan pintu berkunci.

Mangsa warga asing yang baru tiba dari Singapura, Lim Bah,23, ditetak dan diserang suspek dengan menggunakan parang sehingga mengalami kecederaan kritikal dan kini menerima rawatan di Hospital Taiping.

Suspek difahamkan rakan seperguruan dengan mangsa warga asing terbabit, manakala mangsa kedua seorang warga emas berusia 70 tahun adalah merupakan guru mereka.