KOTA BHARU - Seorang pelajar perempuan tingkatan dua maut digilis sebuah lori dalam kemalangan di Jalan PCB - Kota Bharu dekat Kampung Tikat, petang semalam.

Nor Wardiah Syahirah Mustafa, 14, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, kejadian berlaku pada jam 4.20 petang ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y150ZR dalam perjalanan dari arah Pantai Cahaya Bulan menghala ke Kota Bharu.

Katanya, setibanya di hadapan gerai menjual jagung di kampung berkenaan, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan menyebabkannya terbabas dan merempuh belakang kereta jenis Perodua Viva yang dipakir di tepi jalan.

“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa dikatakan tercampak ke tengah jalan dan digilis sebuah lori yang tidak dapat dipastikan jenis atau nombor pendaftarannya.

“Mayat dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk bedah siasat,” katanya.