KOTA BHARU - Seorang remaja lembam mati lemas ketika mandi di tali air di Kampung Mentuan, petang tadi.

Mangsa, Mohd Azam Hanafi, 14, ditemui penduduk kampung pada jam 4.30 petang.

Mangsa sebelum itu dikatakan keluar dari rumah jam 2.30 petang untuk mengaji al-Quran dan dikatakan singgah di tali air berkenaan untuk mandi bersama empat sepupu dan rakan.

Rakan mangsa, Haikal Syahmi Shafizan, 13, berkata, mereka mandi-manda sebelum Mohd Azam tiba-tiba terkapai lemas.

"Saya sempat melihat tangan Azam tenggelam-timbul dan cuba menyelamatkannya tapi gagal.

"Kami terus menjerit minta tolong daripada penduduk kampung yang kemudian datang membantu dan membawanya ke Klinik Kesihatan Kota Jembal,” katanya.

Sementara itu, saudara mangsa, Nor Hayati Mohamad Nor, 40, berkata, mangsa dijaga oleh ibu saudaranya sejak bayi selepas ibu bapanya meninggal dunia.

“Mohamad Azam adalah anak bongsu daripada empat beradik dan seorang yang hyperaktif. Adik-beradik yang lain dijaga oleh saudara-mara.

“Walaupun hyperaktif, Mohamad Azam anak yang baik dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji," katanya.

Katanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mentuan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik mengesahkan kejadian itu.