LAHAD DATU - Seorang remaja lelaki maut selepas basikal ditunggang dirempuh sebuah kereta pacuan empat roda Toyota Hilux di Jalan Damroad dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 1 petang itu, mangsa Rohan Raymond,14, maut akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hamzah Ahmad berkata kemalangan itu berlaku apabila basikal mangsa cuba mengelak jalan rosak sebelum pemandu wanita berusia 50 tahun itu terlanggar  belakang basikal ditunggang mangsa.

"Toyota Hilux itu dari Kampung Damai menuju ke bandar Lahad Datu, dan berada di lorong sama dengan mangsa.. Akibat pelanggaran mangsa tercampak ke lorong bertentangan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu di Tawau, seorang lelaki lelaki yang menunggang motosikal meninggal dunia manakala anak perempuannya yang membonceng cedera parah apabila motosikal mereka  dilanggar Jip Nissan Navara di kawasan lampu isyarat Tanjung Batu di sini, pukul 12.50 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata Tamrin Arip, 53, meninggal dunia akibat cedera parah di bahagian dada manakala anak perempuannya Rina Tamrin, 16, yang cedera parah di tulang belakang  leher di rawat di hospital Tawau.

" Kemalangan itu   berlaku  ketika hujan lebat dan keadaan jalan gelap,” katanya. - Bernama