KEMAMAN - Seramai 11 pelajar perempuan dan seorang guru pusat tahfiz Hafizatul Quran Kemaman di Taman Jakar Jaya, Chukai selamat selepas bangunan asrama mereka terbakar dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Kesemua penghuni asrama yang berusia 9 hingga 15 tahun dan ustazah pusat tahfiz milik Pertubuhan Cakna Anak Yatim Kemaman (Cakna) itu bernasib baik kerana sempat keluar menyelamatkan diri semasa api sedang marak.

Akibat kebakaran itu, asrama menempatkan pelajar berstatus anak yatim itu musnah kira-kira 50 peratus mengakibatkan mereka menanggung kerugian lebih RM20,000.

Penyelia pusat tahfiz itu, Abdul Latif Abu Kadir berkata, kejadian itu berlaku semasa kesemua pelajar sedang mengikuti kelas hafazan al-Quran yang menjadi kelas rutin selepas solat Maghrib.

Katanya, kebakaran disedari salah seorang pelajar, Siti Zubaidah Ibrahim, 14, yang pergi ke bilik air untuk mengambil wuduk dan melihat api di dinding berdekatan tingkap kaca bilik tidur mereka.

Abdul Latif sayu melihat keadaan asrama Hafizatul Quran yang musnah dijilat api.

“Tak lama selepas itu api makin marak dan mereka semua berlari keluar daripada bangunan asrama itu. Keadaan asrama yang terbakar itu turut disedari jiran kami di belakang asrama.

“Jiran itu yang hubungi kami (pihak pengurusan tahfiz) dan kemudiannya bomba tiba padamkan kebakaran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Pusat tahfiz itu mempunyai dua unit bangunan iaitu masing-masing rumah banglo yang menempatkan 11 anak yatim perempuan dan seorang ustazah merangkap warden asrama berumur 20 tahun.

Ekoran insiden itu, Abdul Latif berkata, pihaknya membenarkan kesemua anak yatim bercuti sehingga bangunan asrama berkenaan siap dibaik pulih.

“Memandangkan pusat tahfiz ini punyai dua buah rumah banglo, kita pada awalnya mahu pindahkan pelajar ke sebuah lagi banglo yang tidak terbakar yang menjadi dewan makan dan pejabat pengurusan Cakna, tapi disebabkan kesemua pelajar trauma kita benarkan mereka bercuti dan pulang ke rumah keluarga masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganun Azmi Ab Rahim berkata, pihaknya berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya kira-kira jam 10.12 malam seterusnya mengelakkan api merebak ke bangunan bersebelahan.

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu kira-kira jam 8.38 malam sebelum tiba di lokasi kejadian empat minit kemudiannya.

Katanya, pihaknya bergegas dengan kekuatan 20 anggota dan tiga pegawai kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemaman dibantu BBP Chukai dan BBP Kijal bersama empat jentera dan sebuah ambulans Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS).

“Semasa tiba di lokasi kejadian, api sedang marak dan kita berjaya mengawal kebakaran lebih kurang jam 8.47 malam sebelum api padam sepenuhnya pada jam 10.12 malam.

“Kebakaran melibatkan 50 peratus bahagian banglo. Namun punca kejadian masih dalam siasatan lanjut,” katanya.

Berikutan kebakaran itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri merangkap Adun Chukai, Hanafiah Mat turut menziarah pelajar dan meninjau kesan kemusnahan.

Hanafiah berkata, bagi membantu meringankan beban mangsa, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan segera berupa tilam, selimut, tuala, tikar dan lain-lain keperluan.

Hanafiah (lima kanan) menyerahkan bantuan segera kepada pihak pengurusan Hafizatul Quran dan anak-anak yatim yang terjejas.

“Saya juga sudah bincang dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Maidam akan menghulurkan sedikit bantuan untuk membaiki rumah banglo yang menjadi asrama pelajar anak yatim ini.

“Bagaimanapun, untuk menampung kos pembaikian keseluruhannya kita tidak akan gunakan peruntukan dari kerajaan tapi akan buat kutipan derma daripada orang ramai kerana saya yakin, ramai akan terpanggil untuk membantu pusat tahfiz ini,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan kesan kemusnahan, kos baik pulih dijangka menelan belanja sekitar RM20,000 dan dijangka pusat tahfiz itu dapat beroperasi semula selepas dua bulan setelah kerja-kerja baik pulih siap.

“Kerja baik pulih akan libatkan penggantian atap, kayu kekuda bumbung dan sistem pendawaian elektrik,” katanya.