REMBAU – Seorang anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Rembau maut selepas terbabit dalam nahas dua buah kenderaan di Kilometer 15, Jalan Seremban -Tampin, Pedas, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi, mangsa, Sarjan Mejar, Mohd Nor Abd Rashid, 59, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di bahagian dalaman.

Ketua Polis Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, kemalangan  membabitkan Proton Saga FLX dinaiki mangsa dan Nissan Almera yang dipandu seorang lelaki dari arah Seremban menghala ke Rembau.

“Mangsa menaiki kereta bersama isteri dan seorang anak dalam perjalanan menghala ke Seremban sebelum berlaku pertembungan sebaik tiba di tempat kejadian.

"Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban bagi rawatan lanjut. Siasatan masih dijalankan berhubung punca kemalangan," katanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tampin bagi proses bedah siasat dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.