TAPAH - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh di Batu 25, Jalan Tapah -Cameron Highlands di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Muhamad Khairi Baharudin, 34, yang menunggang motosikal jenis RXZ maut akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ketika kejadian, bas yang membawa 30 penumpang itu dalam perjalanan daripada Cameron Highlands ke Johor.

“Setibanya di tempat kejadian, bas yang dipandu lelaki berusia 24 tahun itu, dilanggar di bahagian kanan oleh mangsa yang menunggang sendirian.

“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar bas terbabit,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.