SERENDAH - Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat kemalangan di Kilometer 38 Jalan Kuala Lumpur - Ipoh di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.50 pagi itu, mangsa, S Ashok, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, kemalangan tersebut membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan kereta Atos 1.0 GLM berhampiran Serendah Golf.

Menurutnya, motosikal ditunggang mangsa bersama seorang penumpang dalam perjalanan dari arah Antara Gapi menghala ke Rawang.

"Sampai di lokasi kejadian, kereta Atos dipandu wanita berusia 57 tahun tidak sempat mengelak motosikal yang memasuki laluannya dari arah bertentangan.

"Perlanggaran menyebabkan penunggang motosikal beralamat di Taman Garing Utama,  Rawang meninggal dunia di tempat kejadian.

"Manakala penumpang motosikal seorang lelaki berusia 22 tahun cedera pada bahagian mata dan pemandu kereta patah jari tangan kanan menerima rawatan di Hospital Kuala Kubu Bharu,"katanya.

Bak Phai berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.