NILAI - Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Simpang Tiga Jalan Persiaran Korporat berhampiran Nasi Kandar Impian di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa Muhammad Faizal Zakaria, 20, maut selepas  cedera parah pada bahagian kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintenden Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal jenis Honda dalam perjalanan dari arah Kuaters KLIA menuju ke Bandar Baru Nilai.

"Siasatan mendapati, sebaik sampai di tempat kejadian motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu bergesel dengan sebuah Proton Wira yang sedang menunggu untuk masuk ke simpang Persiaran Korporat.

"Kemudian, mangsa telah melanggar pula cermin sisi kereta Honda Stream yang datang dari arah bertentangan dan mengakibatkannya terjatuh," katanya.

Menurutnya, sebuah kenderaan tidak pasti melanggar mangsa yang terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis sedang mengesan pemandu kenderaan melanggar mangsa.

"Orang awam yang melihat kejadian diharap dapat berhubung dengan pegawai penyiasat kes

Inspektor Mohd Syafiq Azmy, di talian 0145082450.