BATU PAHAT - Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 19 Jalan Muar-Batu Pahat, di sini, semalam.

Dalam kejadian tersebut, mangsa, Boo Yong Chong, 32, yang menunggang motosikal terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal dari arah pekan Semerah menghala ke Muar.

“Sampai di tempat kejadian, mangsa cuba memotong kenderaan yang berada di hadapannya namun gagal. Motosikal mangsa telah bertembung dengan treler yang berada di lorong bertentangan.

“Akibat perlanggaran tersebut, mangsa maut di tempat kejadian manakala pemandu treler tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Abdul Wahib berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan masih dalam siasatan polis,” katanya.