KUALA KETIL - Seorang maut, seorang parah manakala dua lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer (KM) 31.1 Jalan Sungai Petani-Baling, semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffudin Yusuf berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 6.40 petang.

Menurutnya, siasatan mendapati sebuah kenderaan Proton Saga dari arah Sungai Petani menghala Baling masuk ke laluan bertentangan.

“Apabila sampai di KM 31.1 jalan Sungai Petani-Baling, kereta Proton Saga telah masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta jenis Nissan Almera.

“Akibat kemalangan itu, penumpang hadapan kereta Proton Saga itu yang dikenali sebagai Bakhtiar Mohd Yusof, 67, maut di tempat kejadian. Sementara, pemandu kereta itu parah.

“Namun pemandu dan penumpang Nissan Almera hanya cedera ringan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mangsa cedera dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani bagi rawatan lanjut manakala mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik hospital sama.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengesan saksi di tempat kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.