KUALA KETIL - Seorang maut, seorang parah manakala dua lagi cedera ringan dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 31.1 Jalan Sungai Petani-Baling, semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffudin Yusuf berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 6.40 petang.

Menurutnya, siasatan mendapati sebuah kenderaan Proton Saga dari arah Sungai Petani menghala Baling masuk ke laluan bertentangan.

"Apabila sampai di  tempat kejadian, kereta Proton Saga berkenaan telah masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta  jenis Nissan Almera.

"Akibat kemalangan itu, penumpang kereta Proton Saga parah dan penumpang hadapan dikenali sebagai Bakhtiar Mohd Yusof, 67, maut di tempat kejadian.

"Dua lagi mangsa iaitu penumpang belakang dan pemandu Nissan Almera cedera ringan," katanya.

Beliau berkata, kesemua mangsa cedera dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani bagi rawatan lanjut manakala mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik hospital sama.

"Siasatan masih diteruskan untuk mengesan saksi di tempat kejadian bagi membantu siasatan," katanya.