ALOR GAJAH - Seorang pengadil yang berdaftar di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meninggal dunia  selepas sebahagian besar anggota badannya melecur akibat kebakaran rumahnya di Taman Desa Idaman 3, Durian Tunggal di sini awal pagi tadi.

Azham Zahim, 31, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka, kira-kira jam 4.20 pagi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.45 pagi dan seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian anggota bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah teres dengan bahagian sebuah bilik terbakar 100 peratus, manakala ruang tamu pula 10 peratus.

"Terdapat seorang lelaki melecur 70 peratus dan dihantar ke hospital menggunakan Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS).

"Operasi memadam kebakaran mengambil masa kira-kira dua jam dan tamat pada jam 5.16 pagi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa) dalam kenyataannya merakamkan takziah kepada keluarga atas pemergian Azham yang disifatkan sebagai seorang pekerja berdedikasi dan komited terhadap tugas.

"Arwah baru mendirikan rumah tangga pada awal tahun ini dan mula aktif dalam kerjaya pengadilan bolasepak sejak 2014.

"Antara tugasan beliau termasuk mengadili Piala Presiden, Piala Belia dan Futsal FAM.

"Diharapkan keluarga arwah bersabar dan kami di pihak Musa menyifatkan pemergian beliau satu kehilangan yang besar dalam arena bola sepak bukan sahaja bagi Melaka malah negara.

"Sehubungan itu, one minute silence akan diadakan sebelum perlawanan bermula pada Sabtu dan Ahad ini (7 dan 8 Julai)," katanya.

Selain itu, kutipan derma turut dianjurkan pada perlawanan Melaka United menentang Kedah di Stadium Hang Jebat pada Selasa ini untuk disumbangkan kepada keluarga Allahyarham Azham.

Jenazah dikebumikan di kampung halamannya di Kuala Kangsar, Perak.