BUKIT KUANG - Seorang pencari barang lusuh dikhuatiri lemas selepas terjun daripada sebuah kapal yang sedang dibaiki di sebuah limbungan Sungai Kemaman bersebelahan Jambatan Bukit Kuang.

Kejadian kira-kira jam 12 tengah malam semalam itu dipercayai berlaku selepas lelaki berusia lingkungan 20-an itu bersama seorang lagi rakannya sedang mengambil barangan terpakai di atas kapal tersebut sebelum perbuatan itu disedari oleh pekerja di limbungan berkenaan.

Selepas disergah pekerja limbungan, lelaki itu bersama rakannya cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai tersebut  namun mangsa yang tidak pandai berenang telah dihanyutkan arus sementara rakannya berjaya menyelamatkan diri.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat  (BBP) Cukai, Penolong Penguasa Bomba Yahya Hanafi berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pihaknya pada jam 12.37 tengah malam.

"Kami bergegas ke tempat kejadian denga  kekuatan 10 orang anggota sebelum segera menjalankan operasi pencarian di sepanjang kawasan tebing sungai.

"Keadaan cuaca yang gelap menyebabkan operasi di permukaan sungai tidak dapat dijalankan," katanya.

Operasi kemudiannya disambung jam 7 pagi semalam melibatkan kekuatan 30 anggota dari pelbagai agensi iaitu polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan unit skuba dari BBP Chukai dan Kuala Berang.

Menurutnya, operasi yang dilakukan termasuk selaman di dasar di tengah sungai bermula dari kapal selain operasi menyelam turut menyusuri sepanjang sungai menggunakan sebuah bot polis dan bot bomba.

"Operasi meliputi kawasan pencarian seluas satu kilometer dari lokasi terakhir mangsa dikatakan lemas di sungai itu dan ia akan diperluaskan lebih jauh lagi sehingga mangsa ditemui," katanya.

Bagaimanapun, sehingga jam 6 petang tadi mangsa masih belum ditemui oleh pasukan penyelamat.