PARIT BUNTAR - Seorang pemandu van kilang terpaksa menahan kesakitan hampir setengah jam selepas tersepit setelah kenderaan dipandu merempuh bahagian belakang sebuah van lain di Simpang 3, semalam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar,  Mohd Saufi Ahmad berkata, pihaknya segera bergegas ke lokasi kejadian dalam kejadian jam 5.56 pagi itu.

Menurutnya, setibanya di sana bomba mendapati berlaku kemalangan melibatkan dua van kilang di mana salah seorang pemandunya tersepit.

“Bomba segera menggunakan kit keselamatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Sejurus dikeluarkan, mangsa berusia lingkungan 30-an, cedera parah dan diserahkan kepada petugas ambulans untuk tindakan lanjut.

“Operasi selesai dan ditamatkan pada jam 6.40 pagi,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan kedua-dua kenderaan terbabit dalam perjalanan membawa pekerja ke kilang di sekitar Pulau Pinang.

Beberapa pekerja kilang yang turut cedera dalam kemalangan itu dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian,Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob sewaktu dihubungi mengesahkan kejadian menegaskan siasatan lanjut masih dijalankan.