KLANG - Seorang pemandu rentung setelah tersepit di dalam kereta yang dipandunya dalam satu kejadian kemalangan yang berlaku di Jalan Haji Abdul Manan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, dalam kejadian pada jam 7.15 pagi itu, pemandu berkenaan yang datang dari arah Jalan Haji Abdul Manan menghala ke Jalan Kapar dipercayai telah terbabas ke bahu jalan sebelah kanan lalu melanggar tiga tiang konkrit dan sebatang pokok kelapa sawit.

"Akibat pelanggaran itu, kereta berkenaan telah terbakar dan mangsa difahamkan tersepit di dalam kenderaan tersebut.

"Ekoran itu mangsa berkenaan maut di tempat kejadian setelah rentung akibat terbakar,"katanya.

Mengulas lanjut, Mazelan berkata menerusi siasatan awal juga, pihaknya mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi mengenalpasti punca kemalangan terbabit.

Beliau berkata, polis kini sedang giat mencari saksi bebas bagi membantu siasatan dalam kes tersebut.

"Kes masih disiasat di bawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mencari punca sebenar kemalangan,"katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga sedang mengenalpasti identiti mangsa terlibat dan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat boleh berhubung  terus dengan balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat.