SHAH ALAM - Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Utama, Serdang Raya, pagi tadi.

Ketua Polis Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, kereta mangsa dipercayai berlanggar dengan sebuah kereta lain.

Menurutnya, mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Corolla dari arah Bukit Jalil menghala ke Seri Kembangan berlanggar dengan sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipercayai memasuki lorongnya dari arah bertentangan.

"Mangsa berusia lingkungan 30-an  disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta Proton Persona yang cedera masih mendapat rawatan lanjut di hospital.  

"Kes disiasat bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.