KUALA LUMPUR - Seorang pemandu kereta maut dirempuh lori dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Maharajalela menghala Masjid Negara, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 3.20 pagi itu dipercayai berlaku ketika mangsa dikenali Lim Kok Beng berusia 43 tahun melanggar lampu isyarat merah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, dalam insiden itu, sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 30 tahun dalam perjalanan menuju ke Pasar Borong Selayang.

“Bagaimanapun, sampai di lokasi kejadian, kenderaan jenis Proton Waja yang dipandu mangsa dipercayai tidak mematuhi lampu isyarat merah.

“Lori tersebut yang tidak sempat memberhentikan kenderaannya itu telah merempuh kereta terbabit hingga terseret sebelum melanggar tiang lampu isyarat di tengah pembahagi jalan,” katanya.

Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, selain itu, sampel darah mangsa juga telah diambil untuk dianalisa di Jabatan Kimia bagi mengesahkan sama ada mangsa ini terlibat dalam pengaruh alkohol atau sebaliknya.

“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.