BALING - Seorang pemancing rebah dan meninggal dunia di tepi kolam ikan di Kampung Kuala Samak, Kuala Ketil dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Shariffuddin Yusof, berkata, ketika kejadian jam 9.45 malam itu, mangsa, 52, dari Sik mengunjungi kolam itu bersama dua rakannya.

"Selepas menyiapkan joran untuk memancing, mangsa bangun untuk keluar membeli makanan.

"Tiba-tiba mangsa rebah di belakang kawannya, sambil tangannya memegang dada.

"Pihak klinik dipanggil dan mangsa disahkan telah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, mangsa  pernah mendapatkan rawatan pada 1 September lalu ekoran penyakit asma dan jantung.

Shariffuddin berkata, tiada unsur jenayah berhubung kejadian itu.