JOHOR BAHRU - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang mangsa yang dipercayai jatuh laut ketika memancing di perairan Pulau Tinggi, Mersing, ditamatkan  jam 5 petang tadi.

Operasi SAR dikoordinasikan Maritim Malaysia bersama beberapa agensi lain ditamatkan setelah usaha pencarian yang memasuki hari kelima tidak menemui sebarang petunjuk.

Malah, peluang yang tipis terhadap usaha pencarian berikutan mangsa tidak memakai jaket keselamatan (lifejacket) ketika kejadian berlaku.

Bagaimanapun, operasi itu akan disambung semula jika sekiranya terdapat tanda atau petunjuk baru.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Muda Maritim Datuk Abu Bakar Idris berkata, pihaknya telah melaksanakan 1,518 operasi SAR di laut yang melibatkan seramai 7,526 mangsa dari tahun 2006 hingga 31 Ogos lalu.

Katanya, orang ramai yang ingin melaksanakan aktiviti di laut dinasihatkan untuk mengutamakan aspek keselamatan dan sentiasa berhati-hati agar risiko kemalangan atau kejadian yang tidak diingini dapat dikurangkan.